Hajat beri 'duit raya' tak sampai - Utusan Malaysia

Hajat beri ‘duit raya’ tak sampai

MOHD. Fazlan Mat Arshad menunjukkan gambar Muhamad Shafiq Zainurin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 23.1 Jalan Seremban-Tampin, Rembau awal pagi tadi. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Hajat seorang pekerja kantin sebuah kilang memberi ‘duit raya’ buat pertama kali kepada anak-anak saudaranya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 23.1 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, Muhamad Shafiq Zainurin, 26, dibawa ke Hospital Rembau bagi rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia di zon merah pada pukul 3.15 pagi.

Sepupunya, Mohd. Fazlan Mat Arshad, 35, berkata, mangsa dianggap adik kandungnya sendiri kerana dijaga keluarganya sejak berusia enam bulan.

“Jika ada berlaku kematian dia ialah antara yang turut membantu menggali kubur. Beberapa hari sebelum kemalangan, adik ada katakan pada mak mahu simpan duit gajinya untuk diberikan sebagai duit raya kepada anak-anak buahnya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, kemalangan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedia Raja berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa dan sebuah kenderaan pacuan empat roda henis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia awal 30-an.

“Berdasarkan siasatan awal, kenderaan pacuan empat roda berkenaan datang dari arah Seremban menghala ke Tampin. Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai tiba-tiba mangsa keluar dari simpang Batu 17 Kampung Chembong ke Jalan Seremban Tampin secara mengejut dan pemandu pacuan empat roda berkenaan tidak sempat menekan brek lalu melanggar mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada tangan kanan, kaki kiri dan kanan patah serta kecederaan di bahagian kepala dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia kira-kira sejam selepas kemalangan,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya