SEREMBAN: Para guru di negeri ini diingatkan untuk sentiasa memastikan pelajar sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, walaupun kes positif Covid-19 menunjukkan penurunan, langkah itu sentiasa perlu ditingkatkan untuk mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan.
“Walaupun sudah terdapat penurunan jangkitan Covid-19, ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memastikan pelajar tidak bercampur ketika berada dalam kawasan sekolah.
“Jika ada tanda-tanda jangkitan seperti demam, ibu bapa dan penjaga perlu segera menghantar anak-anak mereka ke klinik dan hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Seramai 72,220 pelajar sekolah menengah di negeri ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.
Tambah Mohamad Rafie, pihak sekolah juga perlu terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi termasuk memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan serta kerap membasuh tangan.
“Bagi aspek kebersihan sendiri, pelajar-pelajar wajar membersihkan diri khususnya mandi sebaik sahaja kembali dari sekolah dan menukar pakaian lain. Perhatian juga perlu diberi semasa pelajar-pelajar berulang-alik ke sekolah mengenai penjarakan sosial,” katanya.