GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri menggesa Kerajaan Pusat menyenaraikan golongan guru dan pengamal media dalam kumpulan penerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, ini kerana kedua-dua golongan itu terdedah dan berisiko tinggi memandangkan sering berhubung dengan orang awam.
Katanya, keperluan itu menjadi lebih mendesak terutama di Pulau Pinang ketika ini yang mana terdapat laporan kes positif Covid-19 melibatkan pelajar di beberapa buah sekolah.
Malah ujar beliau, kes positif Covid-19 di negeri ini juga tidak menunjukkan trend penurunan sekali gus meletakkan golongan media yang setiap hari perlu ke lapangan untuk membuat liputan berisiko tinggi.
“Kita harap Kerajaan Pusat dapat menyegerakan pemberian vaksin kepada dua golongan ini supaya mereka dapat terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa rasa bimbang.
“Bagi guru sekolah pula, pemberian vaksin terhadap mereka juga dapat meredakan kembimbangan ibu bapa dan waris pelajar berkenaan kemungkinan penularan di kawasan sekolah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat melawat beberapa sekolah dan pasar awam di sekitar negeri ini bagi menyerahkan pelitup muka serta cecair sanitasi tangan kepada pihak berkenaan.
Dalam pada itu, Tong Keong mengingatkan penduduk negeri ini supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam bersama-sama mengekang penularan pandemik Covid-19.
Ujar beliau, kes positif harian di Pulau Pinang yang kekal pada tiga digit sejak kebelakangan ini menunjukkan penularan wabak berkenaan dalam kalangan masyarakat adalah serius.
“Saya harap masyarakat tidak leka dan mengabaikan aspek kebersihan diri khususnya memakai pelitup muka dan menggunakan cecair sanitasi tangan dengan kerap selain mengelak kawasan sesak sekiranya tidak ada keperluan mendesak,” katanya. – UTUSAN ONLINE