Guru, isteri lesap RM100,300 ditipu scammer - Utusan Malaysia

Guru, isteri lesap RM100,300 ditipu scammer

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Guru di Bentong dekat sini kerugian RM100,300 akibat mendedahkan kata laluan perbankan dalam talian kepada individu menyamar polis, semalam.

Lelaki berusia 52 tahun itu pada awalnya dihubungi perempuan menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Putrajaya yang menuntut bayaran cukai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek wanita itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai RM26,800 yang perlu dibayar segera.

“Wanita itu kemudian menyambungkan talian telefon kepada pihak menyamar polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan seterusnya ke Bukit Aman.

“Selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai ACP Hafiz sebelum disambungkan pula kepada ACP Mohd. Afiq,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, suspek tersebut mengarahkan mangsa memindahkan semua wang ke dalam akaun Bank Negara untuk tujuan pembekuan aset.

“Suspek juga telah meminta kata laluan perbankan dalam talian sebelum mangsa menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Tambah beliau lagi, mangsa menerima SMS mengandungi kod pengesahan transaksi (TAC) sebanyak lapan kali dan telah menyerahkan semua kod tersebut kepada suspek.

“Suspek beritahu mangsa, asetnya perlu dibekukan sementara siasatan selesai. Mangsa juga beritahu akaun isterinya mengandungi baki RM50,000,” tambahnya.

Menurutnya, suspek kemudian meminta pula kata laluan akaun bank isteri mangsa, lalu guru tersebut mematuhi arahan tersebut tanpa sebarang syak.

“Selepas semua wang dipindahkan, suspek memberitahu siasatan telah selesai. Mangsa lantas membuat semakan akaun miliknya serta isteri dan mendapati semua wang telah lesap dipindahkan,” katanya.

Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Lurah Bilut, Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya