PETALING JAYA : Sudah tiba masanya sektor perladangan bergantung kepada teknologi sepenuhnya susulan tindakan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing untuk industri berkenaan.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, langkah yang dilaksanakan kerajaan perlu dijadikan sebagai permulaan bagi sektor berkenaan mencari inovasi baharu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga luar.
Katanya, kerajaan juga dalam masa yang sama disaran mengubah polisi pengambilan pekerja dengan prosedur lebih ketat terutama membabitkan kesihatan dan keselamatan walaupun situasi Covid-19 pulih nanti.
“Kita selamanya tidak boleh bergantung kepada mereka (warga asing). Sektor lain juga dalam masa yang sama digalakkan untuk mencari alternatif termasuk teknologi atau tenaga kerja tempatan.
“ Apa akan jadi sekiranya situasi (Covid-19 ) berlaku lagi? Adakah kita akan rugi lagi ? Sudah tentu alternatif amat diperlukan pada masa sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkara, kerajaan masih tidak membenarkan pengambilan pekerja asing dari luar negara bagi mengisi permintaan tenaga kerja terutama dalam sektor perladangan kelapa sawit walaupun terdapat kekurangan sehingga 40,000 tenaga kerja.
Dalam pada itu Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, tenaga kerja asing amat diperlukan pada masa sekarang kerana kurang sambutan daripada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan yang ada.
Malah katanya, kaedah lain perlu digunakan sekiranya kerajaan bercadang mahu menggunakan mesin berteknologi sepenuhnya.
“ Jika kerajaan mahu menggunakan teknologi sepenuhnya mereka perlu menggunakan secara berkelompok sebagaimana penanaman padi gunakan.
“ Peladang kecil boleh menyewa mesin yang ditempatkan di satu-satu kawasan kerana mesin teknologi tinggi ini mahal,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE