Guna surat rentas negeri seludup ketum - Utusan Malaysia

Guna surat rentas negeri seludup ketum

SIK Choon Foo (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam kereta dipandu lelaki di IPD Gua Musang hari ini. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Demi upah sebanyak RM1,500, seorang lelaki sanggup menyalahgunakan surat kebenaran rentas negeri untuk menyeludup 160 kilogram daun ketum dari Kedah ke negeri ini, Selasa lalu.

Difahamkan, ini kali keempat suspek berulang alik antara Kelantan dengan Kedah sambil melakukan kesalahan sama dengan tiga kali perbuatannya sebelum ini berjaya lolos daripada dikesan pihak polis.

Dalam kejadian pukul 2.56 petang Selasa lalu, kegiatan suspek berusia 38 tahun akhirnya terbongkar ketika dia gagal melepasi sekatan jalan raya (SJR) oleh pihak polis di Kampung Kundur, di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil pemeriksaan menemukan 16 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu suspek.

Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek yang memandu bersendirian menerima bekalan daun ketum terbabit daripada seorang lelaki dari Kuala Nerang, Kedah.

“Transaksi pembelian daun ketum itu dilakukan sebanyak tiga kali dalam sebulan untuk dihantar kepada seorang wanita tempatan untuk pasaran sekitar Kota Bharu.

“Siasatan mendapati suspek telah memohon permit rentas negeri di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini dengan alasan palsu ingin menziarahi ibunya yang sakit di Kedah.

“Selepas tiga kali berjaya melepasi sekatan, lelaki itu tidak bernasib baik kali ini apabila ditahan polis. Kita masih mengesan identiti lelaki Siam dan wanita tempatan yang didedahkan suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini hari ini.

Tambah Choon Foo, suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan kini ditahan reman bermula semalam sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya