PASIR PUTEH: Makanan tradisi orang Kelantan, gulai kawah antara menu unik yang tidak selalu dapat dinikmati di negeri Cik Siti Wan Kembang kecuali dalam kenduri atau majlis kahwin di kampung-kampung.
Ramadan kali ini, gulai kawah air tangan seorang tukang masak, Abe Uji mencetus fenomena tersendiri di bandar ini apabila menjadi juadah pilihan penduduk untuk berbuka puasa gara-gara rasanya yang dikatakan ‘ori’ atau asli.
Selain menggunakan resipi tradisional, gulai kawah Abe Uji atau nama sebenarnya, Fauzi Md. Zin, 49, istimewa kerana dihasilkan menggunakan 100 peratus daging lembu kampung bersama rempah ratus adunannya sendiri.
Menjalankan perniagaan secara khidmat tunai ketika penghantaran (COD) atau ambil sendiri, Abe Uji memasak gulai kawah di rumahnya berhampiran persimpangan lampu isyarat Bukit Gedombak di sini sejak 1 Ramadan lalu.
Dia yang berpengalaman sebagai tukang masak selama hampir 20 tahun memilih menggunakan daging lembu tempatan berbanding daging lembu import kerana rasanya lebih enak di samping bagi mengelak rasa was-was.
“Sebelum ini saya bersama isteri, Noor Hayati Ismail, 51, berniaga di kedai yang disewa di pusat bandar ini namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu, perniagaan tersebut ditutup.
“Untuk bangkit semula mencari rezeki, kami mulakan dengan memasak 15 kilogram daging sehari sahaja, berbanding 50 kilogram sehari ketika negara kita belum diserang pandemik,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Gulai kawahnya dijual pada harga serendah RM10 sebungkus namun Abe Uji memberi jaminan jumlah itu sudah cukup untuk menjadi santapan sama ada ketika berbuka atau sahur dalam sebuah keluarga yang besar.
“Gulai kawah saya isinya 100 peratus daging lembu kampung tanpa dicampur bumbe nyor (tempurung kelapa muda) dan buah dara muda sebagaimana dibuat tukang masak lain,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu. – UTUSAN ONLINE