Guan Eng tuntut ganti rugi am RM20 juta daripada Raja Petra - Utusan Malaysia

Guan Eng tuntut ganti rugi am RM20 juta daripada Raja Petra

LIM Guan Eng (kanan) hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada prosiding taksiran ganti rugi dalam kes saman fitnahnya terhadap Raja Petra Raja Kamarudin berhubung projek terowong bawah laut Pulau Pinang. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menuntut ganti rugi am sebanyak RM20 juta dalam kes saman fitnahnya terhadap penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin berhubung projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Guan Eng, 61, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sebanyak 20 artikel telah disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra bermula Februari 2019.

Beliau berkata, pihaknya menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap artikel yang mana siri artikel itu telah dikongsi oleh pengguna internet dan artikel-artikel itu masih belum diturunkan (padam) oleh defendan (Raja Petra).

Guan Eng selaku plaintif menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada prosiding taksiran ganti rugi yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 April ini untuk plaintif memfailkan hujahan tambahan dan keputusan bagi taksiran ganti rugi ditetapkan pada 25 Mei ini menerusi aplikasi Zoom.

Guan Eng berkata, semasa artikel-artikel itu diterbitkan, beliau memegang jawatan penting sebagai Menteri Kewangan dan pemfitnahan itu adalah khusus kepada khidmatnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Nama baik dan reputasi saya tercemar secara teruk, lagi pun defendan menyatakan sumber beliau adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini telah merosakkan kewibawaan dan karakter saya,” ujarnya lagi.

Selain menuntut ganti rugi am RM20 juta Guan Eng turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM500,000.

Sementara itu, peguam Simon Murali yang mewakili Guan Eng dalam hujahannya berkata jumlah RM1 juta bagi setiap satu artikel adalah satu jumlah yang munasabah.

Pada 28 Februari tahun lalu, Guan Eng memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya.

Guan Eng memfailkan saman fitnah pada 6 September 2019 berhubung satu siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ yang disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal milik Raja Petra antara 24 Februari dan 15 Mac 2019.

Beliau mendakwa artikel berunsur fitnah itu adalah berkaitan siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong berkenaan.

Setiausaha Agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankannya melalui tiga akhbar pada 10 Februari 2020.

Sebelum itu, Guan Eng cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhir penulis blog tersebut yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun
gagal. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya