KUALA LUMPUR : Golongan muda digesa agar bangkit mendaftar sebagai pengundi dalam menentukan pemerintahan akan datang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik berkata, tindakan kerajaan tidak melaksanakan Undi 18 (Undi18) ketika ini meskipun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah dilihat sebagai tindakan mencabul demokrasi.
“Kita telah luluskan Undi18 (peringkat Parlimen) dan diharapkan ia dapat dilaksanakan.
“Bagi pengundi muda, segeralah berdaftar. Anda lihat bagaimana kerajaan ada sekarang ini mencabuli demokrasi, membuli anda sekali, menafikan hak Perlembagaan maka dalam pilihan raya nanti anda tentukan nasib mereka,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Terdahulu, Maszlee hadir bersama-sama Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan. bagi memberi keterangan berhubung Perhimpunan Undi18 yang diadakan di hadapan bangunan Parlimen pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Maszlee turut berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menjalankan tugas secara profesional.
“Sebagai Ahli Parlimen kami hanya jalankan tugas kami,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE