Gerakan, NGO serah memorandum bantahan isu ayam - Utusan Malaysia

Gerakan, NGO serah memorandum bantahan isu ayam

GABUNGAN Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang dan ahli Parti Gerakan mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandun bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu pembekalan ayam dan penggunaan peti sejuk (chiller) di Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri dan Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu pembekalan ayam dan penggunaan peti sejuk (chiller) yang didakwa membebankan peniaga ayam di bahagian pulau negeri ini.

Selain penyerahan memorandum bantahan di Komtar itu, lebih 30 peniaga ayam turut berkumpul secara aman bagi menyuarakan bantahan terhadap larangan aktiviti penyembelihan di premis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang akan dikuatkuasakan Jun nanti.

Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan, H’ng Khoon Leng berkata, memorandum itu diserahkan setelah pelbagai aduan dan maklum balas negatif yang diterima pihaknya daripada peniaga selepas dimaklumkan mengenai larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP itu.

Katanya, perbincangan terperinci dengan pihak terlibat seperti peniaga ayam tidak dijalankan dengan terancang sebelum diputuskan pembinaan pusat pengedaran dan penyimpanan ayam di Batu Lancang.

“Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pengedaran adalah dalam pengedaran susu dan tenaga.

“Penglibatan MBPP dalam penyimpanan dan pengedaran ayam sehingga membina bangunan pengedaran ayam adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum itu di sini.

Memorandum berkenaan diterima oleh wakil Ketua Menteri iaitu, Setiausaha Sulit Kanan Pejabat Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Sebelum ini, MBPP menjelaskan tiada paksaan bagi peniaga-peniaga ayam untuk mendapatkan bekalan ayam bersih dari pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Batu Lancang seperti yang didakwa.

MBPP juga bersetuju menangguhkan penguatkuasaan larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP sehingga Mei depan bagi memberi lebih banyak masa kepada peniaga untuk melakukan persediaan.

Menurut Khoon Leng, satu kajian terperinci perlu dilaksanakan pihak ketiga berhubung isu bekalan ayam itu dan pihaknya juga mahu pelaksanaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam serta peti sejuk dibatalkan dengan segera.

“Garis panduan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggariskan spesifikasi untuk reka bentuk dan struktur bangunan penyembelihan, ia tidak pernah mencadangkan MBPP untuk membina pusat penyimpanan dan pengedaran ayam,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang, Azizur Rahman berkata, peniaga-peniaga amat berharap kerajaan negeri membatalkan segera larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP.

“Peniaga sudah berulang kali menyatakan tidak bersetuju dengan larangan tersebut dan kami minta ia dibatalkan untuk kebaikan semua pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya