Gerai kuih dirempuh juruteknik khayal dadah - Utusan Malaysia

Gerai kuih dirempuh juruteknik khayal dadah

KETIKA kejadian tiga beranak itu sedang menjual juadah kuih-muih dan air tebu sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang datang dari arah Bandar Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga beranak cedera selepas gerai jualan kuih-muih dan air tebu mereka dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah di Jalan Limbongan di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, mangsa, Norazizah Jenal, 57, dan dua anaknya Muhammad Aliff Hazimie Samsudin, 13, serta Nurul Ayu Umairah, 15, cedera di bahagian kaki, perut serta bahu lantas dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian, tiga beranak itu sedang menjual juadah kuih-muih dan air tebu sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang datang dari arah Bandar Melaka.

“Kereta tersebut yang dipandu lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh gerai jualan anak-beranak berkenaan.

“Akibat rempuhan tersebut, ibu mereka mengalami kecederaan di kaki manakala anaknya cedera di bahu kanan, perut dan kaki kiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemandu tersebut yang bekerja sebagai juruteknik itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semakan mendapati, pemandu terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan hasil saringan ujian awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.

“Hasil siasatan lanjut, dia juga mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan permohonan reman terhadapnya dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 43 (1) serta Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN