Geng 'sumpah berdarah' kecundang - Utusan Malaysia

Geng ‘sumpah berdarah’ kecundang

ARJUNAIDI Mohamed dalam sidang akhbar berkaitan Geng 24 Bukit Raja Shah Alam, Selangor, hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Merekrut pelajar sekolah untuk menjalankan pelbagai aktiviti haram di sekitar Lembah Klang.

Malah, bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu dengan menyasarkan golongan berusia belasan tahun dan menjanjikan perlindungan, pengaruh, kuasa dan kewangan.

Namun, modus operandi kumpulan kongsi gelap terancang, Geng 24 Bukit Raja tumpas susulan kes rusuhan di sebuah pusat hiburan di Setia Alam di sini, 19 September tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, geng tersebut juga didapati perlu menjalani ritual ‘sumpah berdarah’ sebelum menyertai kumpulan berkenaan yang antaranya terbabit dalam jenayah pemerasan, samun dan pergaduhan.

Menurutnya, upacara mengangkat sumpah itu bertujuan menunjukkan saat setia, patuh dan menghormati ketua serta kumpulan berkenaan.

“Dalam kejadian tersebut, kita menahan 50 individu sepanjang Ops BD sehingga semalam. Siasatan mendapati Geng 24 Bukit Raja itu mempunyai seramai 100 ahli yang rata-ratanya berusia 20 hingga 50-an.

“Namun, sebanyak 10 peratus daripada mereka turut terdiri daripada pelajar sekolah yang hanya berusia belasan tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Menurut Arjunaidi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 52 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Tambah beliau, pihaknya sedang menjalankan pemantauan lanjut ke atas beberapa sekolah menengah di negeri ini bagi mengekang kumpulan berkenaan.

“Selain itu, kita masih mengesan lapan individu termasuk remaja yang disyaki ahli Geng tersebut bagi membantu siasatan.

“Kita percaya kumpulan itu masih lagi bergiat aktif ketika ini termasuk merekrut pelajar sekolah sebagai ahli baharu mereka,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya