Fasa dua PICK diawalkan 17 April ini - Utusan Malaysia

Fasa dua PICK diawalkan 17 April ini

ADHAM Baba menunjukkan aplikasi MySejahtera. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diawalkan bermula 17 April berbanding 19 April ini sebagaimana diumumkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan yakin keberadaan vaksin mencukupi untuk diberikan kepada penerima dalam kalangan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpenyakit kronik yang berjumlah sembilan juta orang.

“Oleh itu, keberadaan vaksin kita perlu utamakan dan perlu ada dalam negara.

“Komitmen pengeluar vaksin seperti Pfizer-BioNTech sudah ada jadual penghantarannya, ditambah pula dengan bekalan vaksin Sinovac dan AstraZeneca selain CanSino untuk satu dos yang akan mula diperoleh bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian dengan Syarikat Solution Biologics Sdn. Bhd. itu diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nazlee Kamal di Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Adham berkata, pendaftaran kumpulan fasa dua ini masih rendah iaitu hanya meliputi 30 peratus daripada lebih tujuh juta pendaftaran penerimaan vaksin.

Untuk itu, katanya, kempen pendaftaran terutama kepada golongan tesebut dipergiat supaya mereka boleh berdaftar melalui lima kaedah pendaftaran ditetapkan.

“Bulan puasa juga kita melaksanakan program imunisasi ini. Saya telah meminta Kementerian Kesihatan supaya ia juga boleh dilaksanakan pada waktu malam di tempat-tempat tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekatan eksport vaksin di beberapa negara tidak menjejaskan pembekalan vaksin ke Malaysia.

Kata beliau, ia berdasarkan komitmen daripada kesemua pembekal menerusi perjanjian dengan negara ini yang memberikan jaminan tidak berlaku kelewatan pembekalan vaksin dan mengikut jadual ditetapkan.

“Vaksin AstraZeneca kita tidak beli melalui Eropah, kita beli dari kilang di Thailand. Jadi ia tidak ada masalah. Untuk fasiliti Covax yang membekalkan AstraZeneca, ia dari Korea Selatan.

“Perkara-perkara ini semua dijamin. Jadi isu kelewatan bekalan vaksin daripada pembekal tidak berlaku pada negara. Alhamdulillah, kita melaksanakan semua jadual penghantaran dalam waktu ditetapkan, malah kita minta mereka boleh mempercepat penghantaran,” katanya.

Mengulas mengenai aplikasi MySejahtera, beliau meminta orang ramai dapat memanfaatkan sepenuhnya segala fungsi yang disediakan dalam aplikasi itu kerana banyak maklumat boleh diakses seperti berkaitan perlindungan diri, data-data mengenai perkembangan kes Covid-19 dan arahan terkini kerajaan.

Pada masa ini, katanya, kerajaan menguruskan sendiri aplikasi itu tanpa memberikan kepada mana-mana syarikat luar sekali gus memberikan jaminan perlindungan data peribadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya