Enam tahun 'hadap' internet lemah - Utusan Malaysia

Enam tahun ‘hadap’ internet lemah

HAZLINA Jalil (tengah) ketika mengadakan lawatan kerja ke Mukim Tanjung Surat bagi melihat peluang pembangunan dan ekonomi di kawasan itu di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Terpaksa mencari kawasan berhampiran laut semata-mata untuk mendapatkan rangkaian internet, demikian dilakukan penduduk di Kampung Linting, di sini saban hari untuk mencapai talian yang memuaskan.

Ketua Kampung Tanjung Surat, Amin A. Rahman berkata, penduduk di kampung itu berdepan masalah rangkaian internet yang lemah sejak 2015 lagi.

“Liputan ada, tetapi, jika memerlukan talian yang kuat dan stabil kena pergi berhampiran laut yang tempatnya agak terbuka kerana jika di rumah saya misalnya, apabila air surut hanya ada satu atau separuh bar sahaja.

“Namun, sekiranya air naik tinggi, maka, rangkaian internet akan menjadi kuat pula dan jika di Kampung Belungkor ada pencawang, tetapi rangkaiannya hanya untuk jarak kira-kira lima kilometer sahaja,” katanya.

Amin ditemui ketika menyertai lawatan kerja Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil ke Mukim Tanjung Surat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rangkaian internet amat penting kepada Kampung Linting kerana ia merupakan salah satu produk pelancongan yang diketengahkan di mukim tersebut dan daerah berkenaan khususnya.

“Jadi, diharapkan dengan adanya penambahbaikan ke atas masalah talian internet ini akan menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.

Sementara itu, keadaan internet lemah di kampung terbabit bakal berakhir tidak lama lagi apabila dua pencawang yang telah dipasang di kampung berkenaan akan berfungsi dalam masa terdekat.

Hazlina berkata, pihaknya maklum dengan masalah terbabit dan ia akan dapat diatasi dengan segera memandangkan pencawang untuk tujuan tersebut telah dipasang awal Januari lalu.

“Pencawang telah ada, cuma piringnya sahaja yang belum dipasang, saya akan bertanya lanjut kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kenapa proses menaikkan piring itu belum lagi dilakukan.

“Saya yakin pihak SKMM juga sedang melaksanakan prosedur mereka untuk proses tersebut dan mungkin sedang mengenal pasti kontraktor untuk kerja-kerja pemasangan itu.

“Insya-Allah, penduduk di sini akan dapat menikmati kemudahan rangkaian internet yang lebih memuaskan dalam masa terdekat seperti mana di kampung-kampung lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya