Enam petugas kesihatan positif Covid-19 selepas terima vaksin lengkap - Utusan Malaysia

Enam petugas kesihatan positif Covid-19 selepas terima vaksin lengkap

SHAHELMEY Yahya (lima dari kiri) bersama mereka yang telah menerima vaksin Covid-19 di Pusat Vaksinasi Covid-19 Kota Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Enam petugas kesihatan di Sabah disahkan positif Covid-19 selepas menerima suntikan vaksin lengkap.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Ir. Shahelmey Yahya berkata, ada antara mereka dijangkiti kurang daripada seminggu selepas menerima vaksin lengkap dan ada juga yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

“Ini bermakna apabila diberi vaksin bukan 100 peratus kita tidak akan dijangkiti tetapi ia akan meningkatkan imunisasi dalam badan. Itulah tujuan vaksin iaitu untuk meningkatkan imunisasi agar penularan jangkitan dapat dibendung.

“Atas sebab itu, penting untuk kita terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan biarpun sudah menerima vaksin kerana kita masih belum mencapai 80 peratus imuniti kelompok dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua peringkat negeri Sabah, dekat sini hari ini.

Shahelmey berkata, sekiranya imuniti kelompok itu berjaya dicapai, risiko penularan Covid-19 dapat dibendung dengan baik.

Untuk fasa kedua ini, Sabah menyasarkan seramai 268,000 penerima vaksin dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik.

Semalam, seramai 200 orang menerima vaksin di Pusat Vaksinasi Covid-19 Kota Kinabalu.

Menurut Shahelmey, pihaknya menyarankan kepada rakyat di Sabah untuk segera mendaftar menerima vaksin kerana jumlah penerima vaksin yang berdaftar setakat ini masih rendah.

“Kita akan terus memberi kesedaran agar lebih ramai orang Sabah tampil untuk menyertai program imunisasi ini,” katanya.

Setakat 17 April lalu, seramai 426,934 orang telah mendaftar bagi program imunisasi ini berbanding 3.91 juta rakyat Sabah.

Beliau berharap dengan pelaksanaan PICK fasa kedua ini persepsi negatif yang tular dalam media sosial dapat ditangkis secara perlahan-lahan berdasarkan testimoni daripada individu yang mendapat vaksin dos pertama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya