ALOR SETAR: Sebanyak enam pasar utama di seluruh negara terpilih dalam Kempen Membudayakan Norma Baharu Covid-19 berikutan penularan wabak tersebut di negara ini sejak tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pasar berkenaan ialah Pasar Satok di Kuching, Sarawak; Pasar Kraftangan, Kota Kinabalu, Sabah; Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan dan Pekan Rabu di sini.
Menurutnya, dua lagi pasar ialah Pasar Chowrasta, Georgetown, Pulau Pinang dan Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, Terengganu.
“Persekitaran yang berisiko rendah dan selamat akan memberi keyakinan kepada pengguna untuk terus mengunjungi premis-premis perniagaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah dan Kempen Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncitan di Kompleks Pekan Rabu di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan memasang Sistem Ulang Siar Digital di pasar-pasar tersebut bagi bagi memudahkan penyampaian maklumat berkaitan kempen pembudayaan norma baharu dan juga kesedaran pengguna secara pantas dan interaktif.
“Sistem ini adalah salah satu strategi bagi memudahkan semua pihak menerima maklumat dengan pantas dan mudah,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga mengambil inisiatif untuk menjayakan penggunaan e-Wallet dalam kalangan peniaga dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“Pelbagai insentif ditawarkan supaya sistem ini dapat digunakan secara menyeluruh dalam kalangan peniaga.
“Saya percaya dengan mengadaptasi perniagaan berasaskan digital seperti e-Wallet, para peniaga kecil akan dapat memperluskan pasaran dan bersaing dalam lanskap perniagaan yang semakin moden,” katanya. -UTUSAN ONLINE