Empat warga Pakistan ditahan sogok polis - Utusan Malaysia

Empat warga Pakistan ditahan sogok polis

EMPAT warga Pakistan dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sungai Petani selepas mendapat perintah reman, hari ini. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Empat lelaki warga Pakistan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai cuba memberi rasuah sebanyak RM150 kepada anggota polis ketika ditahan kerana tidak memiliki borang rentas negeri dalam pemeriksaan di sekatan jalan raya di Kulim, dekat sini, semalam.

Warga asing terbabit disyaki cuba memberi rasuah kepada anggota polis itu sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan kerana tidak memiliki borang rentas negeri selepas mendakwa datang dari Pulau Pinang.

Menurut sumber SPRM Kedah, mereka yang yang merupakan peniaga berusia 22 hingga 41 tahun tiba di sekatan jalan raya tersebut pada pukul 4.30 petang.

“Polis kemudian menyerahkan warga asing itu kepada SPRM Sungai Petani di sini untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Sumber SPRM itu memberitahu, keempat-empat warga Pakistan itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani di sini, hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Dalila Ismail membenarkan seorang suspek berumur 32 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini.

Selain itu, tiga lagi rakannya berusia 22, 31 dan 41 tahun pula direman selama enam hari juga bermula hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat warga asing tersebut.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b)Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya