SABAK BERNAM : Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera parah apabila kereta Perodua Kelisa dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 78 Jalan Klang-Teluk Intan di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, dua kanak-kanak berusia dua dan 10 tahun itu masing-masing patah bahu kiri dan koyak pada bahagian lidah serta cedera pada bahagian muka.
Pemandu wanita berusia 39 tahun yang tinggal di Kampung Sungai Tengar Selatan, Sungai Air Tawar mengalami kecederaan patah rahang, jari kelingking kiri dan bahu.
Sementara, seorang lagi penumpang wanita berusia 43 tahun dari Seksyen 18, dekat sini patah bahu kanan dan putus jari telunjuk sebelah kiri.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan diletakkan di lorong sebelah kanan yang masih ditutup dengan kon dari arah Klang – Teluk Intan.
“Lori tersebut diletakkan di situ bagi tujuan pembersihan jalan dan kereta Perodua Kelisa ini yang datang dari arah Shah Alam dan dalam perjalanan ke Sungai Air Tawar.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu wanita terbabit dipercayai hilang kawalan ketika sedang melalui kawasan jalan yang licin kerana sedang dalam kerja-kerja pembersihan.
“Akibat kejadian, kereta Perodua Kelisa ini telah terbabas ke lorong sebelah kanan jalan yang ditutup sebelum melanggar bahagian belakang lori tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa telah dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE