Embok pernah jahit ratusan baju raya - Utusan Malaysia

Embok pernah jahit ratusan baju raya

TENGKU Embok Tengku Mat menunjukkan baju Melayu yang dijahitnya ketika ditemui di Pasar Besar Kuala Berang di Hulu Terengganu hari ini. -UTUSAN/ NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Berpengalaman menjahit sejak berusia awal 20-an, Tengku Embok Tengku Mat, 67, dari Kampung Telaga di sini pernah menerima ratusan tempahan baju Melayu setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Hasil rekaan tukang jahit ini bukan sahaja menjadi pilihan penduduk di sekitar Kuala Berang malah turut menarik pelanggan di daerah berdekatan.

Tengku Embok berkata, proses menyiapkan pakaian pelanggan lazimnya turut dibantu beberapa pekerja dengan dia menumpukan kepada kerja-kerja mengunting kain.

“Tetapi sejak berusia lewat 50-an keupayaan menjahit semakin terhad dan saya hanya mampu menerima tempahan 50 pasang baju Melayu sahaja.

“Tahun lepas jumlah tempahan berkurangan kepada 30 pasang gara-gara pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kuala Berang hari ini.

Menurut Tengku Embok, Aidilfitri kali ini cukup berbeza kerana hanya 15 pasang baju Melayu dihasilkan khusus untuk pelanggan setia yang sudah lama menggunakan khidmat jahitannya.

Datuk kepada empat cucu itu berkata, walaupun banyak tempahan diterima, namun rata-ratanya ditolak berikutan kekangan masa untuk beribadah di bulan Ramadan.

“Saya terpaksa meminta pelanggan mencari tukang jahit lain, biarpun sudah tidak aktif macam dulu tetapi saya belum terfikir untuk berhenti menjahit kerana masih sayangkan bidang ini.

“Dengan duit inilah saya menyara keluarga dan tujuh anak hingga dewasa,” katanya yang mengenakan bayaran bermula RM100 bagi upah menjahit sepasang baju Melayu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN