Elysh Qistina tulis novel hanya dua minggu - Utusan Malaysia

Elysh Qistina tulis novel hanya dua minggu

DAHLIA Di Hatiku adalah novel pertama karya Elysh Qistina Mohd. Zaki yang disiapkan dalam tempoh dua minggu ketika PKP 2.0.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Elysh Qistina Mohd. Zaki mula mengenal huruf ketika usianya baharu mencecah tiga tahun dan boleh membaca pada usia empat tahun.

Kepintarannya itu tidak berakhir di situ apabila dia mula menulis ‘diari’ atau catatan harian ketika berusia enam tahun.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, di sini itu yang kini berusia 12 tahun begitu meminati bidang penulisan malah mengisi masa dengan menulis apa sahaja perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Anak sulung daripada dua adik beradik itu akhirnya menghasil dan menerbitkan novel sulungnya berjudul Dahlia di Hatiku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, baru-baru ini.

“Ketika PKP 2.0, saya memang sibuk dengan kelas secara dalam talian dan kerja sekolah diberikan guru. Saya menulis jika ada masa terluang kerana menulis novel adalah minat saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Seberang Balok dekat sini, baru-baru ini.

Elysh Qistina berkata, dia hanya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan novel yang mengandungi dua cerita itu.

“Idea datang secara spontan dan saya terus menulis tanpa terlalu banyak buat pembetulan. Selepas siap semuanya baru saya dapatkan pandangan mummy (ibu).

“Saya suka menulis cerita. Jika sehari tidak menulis, saya rasa hidup tidak lengkap. Ada ketikanya saya mengambil masa sehingga pukul dua atau tiga pagi untuk tulis cerita,” katanya yang bercita-cita menjadi peguam dan pada masa sama bergelar novelis.

Elysh Qistina kini dalam usaha menghasilkan satu lagi karya bertajuk Lukisan Ariesya bergenre mistik dan dijangka berada di pasaran pada Jun ini serta antologi cerpen kanak-kanak berjudul Diari Perkhemahanku.

“Saya harap karya ini dapat memberi sumber inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk turut berkarya melalui penulisan kreatif,” katanya yang baru-baru ini diberi penghargaan menyampaikan ceramah berkaitan penulisan kreatif di SK Balok Makmur.

Menurutnya yang juga ahli Tim Penulis Cilik Pusat Sumber sekolah, sehingga kini dia sudah memiliki ratusan buku cerita dan membaca lebih 1,000 buku cerita bahasa Melayu dan Inggeris.

Sementara itu, Norsazlizawati Md. Ali, 41, berkata, sebagai ibu dia kagum dengan kebolehan anaknya yang mula aktif menulis cerpen ketika berusia 10 tahun.

“Cerpen pertama yang ditulisnya sebanyak tiga muka surat tanpa noktah atau katanya ‘sekali nafas’ memang cukup mengagumkan.

“Saya masih simpan cerpen itu dan beberapa cerpen lain yang ditulis berdasarkan kisah benar yang diadun bersekali menerusi imaginasinya,” katanya yang memperuntukkan kira-kira RM100 sebulan untuk membeli buku cerita kegemaran Elysh Qistina. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya