JEMPOL: Keadaan ekonomi semasa yang meleset akibat pandemik Covid-19 antara faktor yang menyebabkan kadar gaji graduan baharu menurun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keadaan ekonomi semasa itu juga menyebabkan permintaan buruh dan tenaga kerja berkurangan.
“Permintaan (buruh) rendah, sudah pasti graduan sanggup menerima gaji lebih rendah daripada biasa tetapi apabila ekonomi pulih, permintaan buruh dan tenaga kerja bertambah.
“Kita (kerajaan) sememangnya nak rakyat dapat upah gaji lebih tinggi dan salah satu masalahnya ialah gaji permulaan graduan tak meningkat, sudah 19 tahun,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Projek Halia Muda di Felda Raja Alias 1 di sini hari ini.
Semalam Jabatan Perangkaan menyatakan graduan yang memasuki pasaran pekerjaan tahun lepas memperoleh gaji permulaan lebih rendah berbanding mereka yang memasuki pasaran pekerjaan tahun-tahun sebelumnya.
Menurut data berkenaan, majoriti siswazah memasuki pasaran pada tahun berkenaan menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.
Sementara itu jelas Mustapa, menjadi hasrat kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan yang lebih berkualiti sekali gus membolehkan graduan menikmati gaji yang tinggi.
“Pertengahan tahun ini kita akan dapat melihat pemulihan yang lebih kukuh dalam ekonomi negara. Harapan kita permintaan tenaga kerja akan bertambah dan memberi kesan positif kepada kadar gaji termasuk gaji bagi graduan baharu bekerja,” katanya.