ECRL 3.0: 'Menganaktirikan' rakyat NS - Utusan Malaysia

ECRL 3.0: ‘Menganaktirikan’ rakyat NS

TEO KOK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan kerajaan untuk menambah baik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) termasuk dijajarkan semula ke laluan asalnya iaitu Jajaran Utara dilihat sebagai perbuatan yang menganaktirikan rakyat Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, pihaknya terkilan dan kesal atas pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong tersebut yang disifatkan beliau sebagai meletakkan perbezaan politik di atas kepentingan negara.

Menurut Kok Seong lagi, beliau yakin, jajaran yang melalui Klawang, Nilai dan Putrajaya (Jajaran Selatan) lebih membawa manfaat bukan sahaja kepada pembangunan Negeri Sembilan, tetapi juga lebih menguntungkan seluruh projek daripada segi masa jangka panjang.

“Laluan Selatan sememangnya dapat mengelakkan pembinaan beberapa terowong yang jumlahnya sepanjang lebih kurang 18 kilometer. Ka Siong sendiri akur dengan fakta di mana Laluan Utara ECRL adalah sekurang-kurangnya 20 kilometer lebih panjang daripada Laluan Selatan, sudah tentu waktu perjalanan dari Pantai Timur ke Pelabuhan Kelang adalah lebih singkat melalui Laluan Selatan.

“Potensi pembangunan di Negeri Sembilan termasuk di daerah Jelebu amat besar, malah, di kawasan Nilai, pembangunan perindustrian, penempatan serta pendidikan sudah cukup pesat dan memerlukan rangkaian pengangkutan yang lebih mantap. Industri di Nilai dapat berkembang lagi dengan adanya sambungan rel ke Pelabuhan Kelang melalui ECRL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Ka Siong berkata, projek ECRL akan ditambah baik dan dijajarkan semula ke laluan asalnya, iaitu Jajaran Utara dengan kos anggaran pembinaan sebanyak RM50 bilion.

Menurutnya, jajaran baharu yang dikenali sebagai ECRL 3.0 itu dilaksanakan setelah mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak berkepentingan yang terbabit dengan projek ECRL tersebut.

Sementara itu, menurut Kok Seong, pihaknya meminta Kementerian Pengangkutan berlaku adil kepada Negeri Sembilan yang disifatkan beliau, faedah pembangunan ECRL itu seharusnya dikongsikan bersama.

“Saya juga menyeru kepada kerajaan Pusat agar mengkaji semula keputusan ini demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan.

“Kementerian Pengangkutan tidak wajar memaksa rakyat menerima lalauan Utara ECRL 3.0 yang merugikan kita semua di Negeri Sembilan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya