SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyifatkan penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada laluan asal merupakan satu keputusan berbaur politik.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sudah lama bersedia dan menunggu untuk projek berkenaan melalui laluan di negeri ini.
“Bagi peringkat negeri, kami sudah bersedia sekian lama. Lebih-lebih lagi kawasan laluan berkenaan bukannya di kawasan penduduk yang padat dan tidak mengganggu masyarakat, jadi perkara itu perlu dipertimbangkan.
“Projek yang dijajarkan semula ke laluan asal iaitu jajaran utara adalah keputusan berbaur politik dan tidak menguntungkan rakyat pada masa akan datang. Kami ada menunggu perbincangan namun hanya mengetahui status jajaran semula berkenaan dibatalkan selepas pengumuman oleh Menteri Pengangkutan baru-baru,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini berkata, kerajaan membuat keputusan projek ECRL akan ditambah baik dan dijajarkan semula ke laluan asal iaitu jajaran utara dengan kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM50 bilion.
Menurutnya, jajaran baharu dikenali sebagai ECRL 3.0 itu dilaksanakan setelah mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak berkepentingan yang terbabit dengan projek berkenaan.
Cadangan pertama projek itu di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak dan ke Serendah serta Pelabuhan Klang.
Bagaimanapun ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir, jajaran ECRL itu dicadangkan tidak melalui Bentong dan Gombak sebaliknya melalui Negeri Sembilan di Klawang, Jelebu dan Nilai sebelum ke Pelabuhan Klang.
Sementara itu Aminuddin menjelaskan, tiada sebarang perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sembilan berhubung penjajaran semula ECRL itu.
“Rupa-rupanya kami hanya menerima pengumuman berkaitan ECRL daripada seorang menteri.
“Saya ada juga mendengar bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu membantu pengambilan tanah dan tugas itu agak sukar sehingga boleh merumitkan perjalanan jajaran semula ECRL,” katanya.