JERANTUT: Ramadan kali ini cukup menduga hidup Mohd. Nazrul Mat Zain, 39, bersama isterinya, Nurul Wahida Kamarudin, 36, yang merupakan generasi kedua Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini.
Ini apabila kedua-dua mereka terpaksa memberikan fokus yang lebih menjaga anak bongsu yang dilahirkan jantung berlubang.
Selain itu, tekanan hidup juga dirasai pasangan yang mempunyai lima orang anak itu apabila tinggal di sebuah rumah yang sempit, binaan yang daif, persekitaran kotor termasuk kekurangan kemudahan tertentu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Wahida berkata, bayinya, Nurul Aishah yang berusia lebih sebulan diberitahu oleh doktor Hospital Sultan Haji Ahmad (Hosas), Temerloh mengalami jantung berlubang selepas dilahirkan.
“Apabila mendengar berita ini, saya sedih dan tidak terucap kata-kata hanya reda dengan ujian Allah buat kali kedua kerana sebelum ini anak ketiga kami, Nurul Shafiera yang berusia 10 tahun juga menanggung derita sama dan sudah menjalani pembedahan pada tahun lalu.
“Kemungkinan kami akan berulang-alik ke Hosas, Temerloh untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan susulan Nurul Aishah sebelum ke Institut Jantung Negara (IJN),” katanya semalam.
Menurut Nurul Wahida, selepas dilahirkan, anak bongsunya itu kerap menangis dan kulitnya menjadi biru lalu doktor membuat pemeriksaan dan mengesahkan bayi itu jantung berlubang.
“Saya dimaklumkan pembedahan akan dilakukan setelah usia bayi ini (Nurul Aishah) besar nanti di IJN, Kuala Lumpur juga kemungkinan melibatkan kos hampir RM35,000 seperti dialami pembedahan Nurul Shafiera pada usia 9 tahun,” katanya.
Ibu muda itu berkata, walaupun kos pembedahan Nurul Shafiera pada tahun lalu ditanggung menerusi subsidi kerajaan, tetapi dia dan suaminya berdepan kesulitan wang tambahan rawatan, belanja berulang-alik sebelum pembedahan, belanja ketika tinggal di IJN dan kebajikan tertentu bakal diuji dan ditempuh sekali lagi bagi rawatan bayinya nanti.
“Kesusahan cukup terasa apabila kami tinggal di rumah yang sempit dan binaan yang tidak sempurna kerana suami bekerja sendiri di Felda ini hanya memperoleh pendapatan antara RM600 hingga RM800 sebulan.
“Pendapatan suami hanya sekadar belanja keperluan dapur, itu pun tidak mencukupi termasuk berjimat untuk anak bersekolah, mana mampu membesarkan rumah dan tinggal di persekitaran yang selesa,” katanya.
Nurul Wahida berharap ada pihak sudi menyumbangkan bantuan untuk keluarganya bagi meringankan kesusahan khususnya keutamaan belanja pembedahan anak, persekolahan dan membaik pulih kediaman mereka.
Orang ramai yang berhasrat untuk beramal jariah di bulan Ramadan bagi meringankan kesusahan keluarga ini boleh menghubungi Nurul Wahida di talian 013-7154171 atau terus ke akaun Maybank (Nurul Wahida) bernombor 156141469872.