Dua penuntut UMP lemas di Air Terjun Sungai Pandan - Utusan Malaysia

Dua penuntut UMP lemas di Air Terjun Sungai Pandan

MAYAT dua penuntut UMP ditemukan lemas selepas mandi-mandi di Air Terjun Sungai Pandan, Panching di Kuantan, Pahang. - IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keseronokan 11 sahabat mandi-manda di Air Terjun Sungai Pandan, Panching di sini berakhir tragedi apabila dua daripadanya mati lemas, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang mati lemas, A. Sharvib Anbananthan, 24, dari Skudai, Johor dan R. Goobi, 23, dari Karak dekat sini.

Kedua-dua mangsa adalah penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang di sini, yang datang untuk mandi dan berkelah beramai-ramai.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, setelah menerima laporan tentang kejadian, polis mengarahkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke lokasi bagi tujuan pemeriksaan awal.

“Berdasarkan temubual bersama rakan mangsa, mereka mendakwa kedua-duanya tidak timbul ke permukaan air selepas mandi bersama rakan-rakan yang lain di kawasan berkenaan.

“Ekoran itu, rakan- rakan cuba membantu namun tidak berjaya sehingga terpaksa menunggu Unit Selam Skuba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba untuk mencari mangsa.

“Kedua-dua mangsa ditemukan di dasar sungai dengan anggaran kedalaman tiga meter. Penemuan pertama iaitu Sharvib Anbanathan pada pukul 3.15 petang manakala diikuti Goobi pada pukul 3.46 petang oleh Unit Selam Skuba JBPM,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada waris masing-masing.

“Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 10 pegawai dan anggota polis dengan bantuan 14 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya