LANGKAWI: Dua peniaga Bazar Syawal Pekan Rabu di Kuah, di sini berputih mata selepas barang jualan dianggarkan bernilai RM40,000 musnah setelah khemah jualan di tapak perniagaan itu terbakar, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu melibatkan empat khemah jualan yang mana hanya dua khemah mempunyai barang jualan.
Peniaga, Marhaimi Ibrahim, 53, berkata, dia baru sahaja meletakkan baju Melayu dan kurta yang dijualnya di khemah tersebut, semalam.
“Tidak tahulah nak cakap macam mana, rasa terkejut pun ada sebab saya baru hendak mula berniaga pada malam ini tetapi dah rugi hampir RM20,000,” katanya yang ditemui di tapak khemahnya di Pekan Rabu di sini, hari ini.
Seorang lagi peniaga, Hanisah Abu Bakar, 37, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM20,000 kerana meletakkan semua pakaian kanak-kanak yang dijualnya di khemah tersebut.
“Semalam, sebelum saya balik ke rumah kira-kira pukul 1 pagi, keadaan di khemah jualan masih seperti biasa,” ujarnya.
Katanya, khemah jualannya terletak bersebelahan gerai jualan Marhaimi.
“Saya pun tidak tahu apa punca kebakaran khemah ini dan menunggu siasatan pihak bomba,” katanya.
Tambahnya, dia terkilan kerana dia baru sahaja berniaga sejak 1 Ramadan lalu.
“Kami baru nak mula berniaga dengan jualan pun tidaklah banyak sangat dan hari ini kami dikejutkan dengan kebakaran ini,” tambahnya.
Tapak perniagaan yang mempunyai kira-kira 60 gerai jualan itu dianjurkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Negeri Kedah Cawangan Langkawi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.11 pagi semalam.
“Kebakaran melibatkan empat khemah jualan dengan dua khemah mempunyai barang jualan manakala dua lagi kosong,” katanya.
Tambahnya, peratusan kebakaran dua khemah yang mempunyai barang jualan dianggarkan 90 peratus manakala dua khemah kosong dianggarkan 50 peratus. – UTUSAN ONLINE