BENTONG: Tindakan berani dua pelajar kolej swasta menggunakan borang rentas negeri disyaki palsu mengundang padah apabila ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Bentong di sini, kelmarin.
Pelajar wanita yang masing-masing berusia 22 tahun itu turut memasukkan maklumat palsu tentang kolej pengajian mereka dan seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, ketika diperiksa di SJR berkenaan, kedua-dua pelajar tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Ketika diperiksa dokumen perjalanan rentas negeri mereka, polis mendapati borang itu agak meragukan dan disyaki dipalsukan oleh kedua-dua wanita tersebut.
“Hasil siasatan awal pihak polis percaya cap dan tandatangan ketua polis balai yang meluluskan permit tersebut disyaki palsu dan dipercayai dibuat secara ‘scan’ dan tulisan turut dipinda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zaiham berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyan 468 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan surat palsu yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, bagi seorang suspek yang didapati positif dadah siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Merbahaya 1952.
“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka juga didapati ada salinan borang kosong rentas negeri siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, polis daerah Bentong terus mengetatkan pemeriksaan di semua SJR antara negeri yang melibatkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.
Langkah itu, katanya, penting dalam memastikan penularan wabak Covid-19 di negeri ini dapat dikawal apatah lagi Tol Bentong merupakan laluan utama ke Pantai Timur khususnya daripada Lembah Klang.
“Polis mengingatkan orang ramai yang hendak membuat perjalanan rentas negeri agar tidak mengambil tindakan dengan mengemukakan borang rentas negeri yang telah diubahsuai dengan niat memalsukan dokumen tersebut dan pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE