PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki termasuk warga Indonesia dipercayai menjual bahan terlarang di medan selera di Kampung Baru di sini, semalam
Turut dirampas mercun pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM25,000, 320 bungkusan berisi daun ketum seberat 64 kilogram dan 14 botol air berisi padu 21 liter.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu dipercayai menjual mercun kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur sempena sambutan Aidilfitri nanti.
Katanya, malah kedua-dua suspek turut menghasilkan air ketum dengan memasak dan membungkus untuk dijual berharga RM10 sebungkus kepada penagih di sekitar lokasi tangkapan.
“Semakan lanjut mendapati dua suspek mempunyai rekod dadah dan jenayah. Kedua suspek kini direman sehingga Ahad ini bagi disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
“Masyarakat juga diminta untuk menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran, penagihan dadah serta penjualan mercun sepanjang Ramadan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi IPD Dang Wang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03- 21159999) atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN ONLINE