KUALA NERUS: Seorang pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terkejut dengan penemuan mayat rentung di cerun semak tepi Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Padang Air, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, Mohd. Hamdan Abd. Manaf, 23, pada mulanya menyangka objek yang berada di cerun berkenaan adalah anak patung.
Katanya, ketika kejadian, dia bertugas menyapu sampah di kawasan berhampiran dan curiga memeriksa lokasi itu berikutan ternampak kepulan asap tebal.
“Saya cuma nak tengok apa terbakar dan ternampak kaki yang disangka anak patung. Kebetulan ada orang lalu di tepi jalan pada masa itu dan dia mengatakan objek berkenaan adalah manusia. Kami segera melaporkan kepada polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, mayat yang belum dikenal pasti identiti dan jantina itu ditemukan dalam keadaan meniarap, kira-kira tiga meter di cerun semak.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia lebih awal sebelum dibawa dan dibakar di lokasi kejadian.
“Bertindak atas maklumat diterima, pasukan siasatan ke tempat kejadian dan menjumpai mayat yang terbakar keseluruhan badan kecuali di bahagian betis kaki kanan.
“Kita tidak menjumpai apa-apa dokumen pengenalan diri dan polis meminta orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau yang tidak pulang ke rumah dalam tempoh lebih 24 jam untuk membuat laporan bagi siasatan lanjut,” katanya.
Abdul Rahim berkata, mayat berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, dia meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat kejadian ini agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE