Dilema tukang jahit musim PKP - Utusan Malaysia

Dilema tukang jahit musim PKP

ROSHAYATI Ahmad tetap gigih meneruskan aktiviti menjahit walaupun berdepan kemerosotan tempahan baju raya tahun ini di Pasar Besar Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Keadaan bertambah sukar… tahun ini merupakan kali pertama saya menerima tempahan baju raya hanya sekitar 30 pasang sahaja.”

Demikian luahan seorang tukang jahit, Roshayati Ahmad, 54, ketika ditemui Utusan Malaysia di kedai jahitnya di ruang legar Pasar Besar Kuantan di sini.

Menurut Roshayati, kesan pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan tempahan baju raya juga mengalami kemerosotan pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

Katanya, tempahan yang diperoleh bagaikan tidak masuk akal sekali gus pendapatannya jatuh merudum berikutan dianggarkan tidak sampai 50 peratus dibandingkan situasi sebelum berdepan pendemik Covid-19.

“Tahun lalu, semua orang berdepan situasi sukar dan saya faham bila tidak menerima sebarang tempahan. Kita semua berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pasar Besar Kuantan ini juga ditutup untuk orang ramai.

“Alhamdulillah tahun ini saya ada menerima tempahan… tetap bersyukur cuma jika dibandingkan tahun-tahun sebelum ini jurangnya sangat ketara.

“Dahulu saya masih boleh mendapat tempahan sehingga 100 hingga 200 helai setiap kali menjelang hari raya Aidilfitri,” katanya di sini semalam.

Roshayati yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai tukang jahit berkata, kurangnya pendapatan ada kalanya membuatkannya runsing dan berasa sedih untuk berdepan hari-hari mendatang.

“Sejak membuka semula kedai jahit ini untuk memperoleh pendapatan yang stabil tidak boleh dijangka… setakat ini hanya cukup-cukup sekadar membayar sewa dan bil semasa sahaja.

“Apa yang diperlukan adalah lebih lagi memandangkan kos kehidupan juga semakin meningkat. Namun saya cuba untuk terus bertahan walaupun ada kala terpaksa bergantung pada suami yang mempunyai pendapatan tetap.

“Di samping kurangnya kehadiran pelanggan ke sini, sejak bermulanya penularan pandemik Covid-19, pelanggan lebih memilih untuk membeli pakaian secara atas talian,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada empat orang anak itu berkata, untuk terus bertahan selain menerima tempahan baju raya, dia perlu tampil dengan inisiatif sendiri untuk menambah pendapatan.

“Saya mula menerima tempahan tudung secara pukal bagi mereka yang ingin menjual tudung… walaupun jauh lebih murah untuk setiap helai setidaknya ada juga pendapatan sampingan.

“Sememangnya saya merindui kesibukan terdahulu jadi tidak duduk bersahaja dan membuat beberapa percubaan mereka beberapa fesyen baju wanita termasuk kanak-kanak untuk dijual secara terus di hadapan kedai,” katanya.

Seorang lagi tukang jahit, Rofiah Mat Ali, 60, berkata, pengurangan tempahan baju termasuk di musim perayaan jelas memberi tekanan kepadanya kerana ia satu-satunya punca pendapatan keluarganya.

Menurutnya, hampir dua tahun keadaan semakin berbeza apabila sudah tidak ‘ditemani’ timbunan kain apabila datangnya Ramadan.

“Kalau diikutkan tekanan itu ada malah hampir putus asa bila lihat tempahan baju tidak banyak seperti dulu yang mana pernah lebih 200 pasang, namun kini yang diterima antara 60 hingga 70 pasang sahaja.

“Kerunsingan ini bertandang bila saya memikirkan mempunyai komitmen lain yang perlu dibayar seperti sewa kedai, bil utiliti dan sebagainya. Tapi saya terpaksa reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Ada juga untuk dikenangkan apabila saya pernah tidak mendapat duit langsung untuk dibawa balik kerana ketiadaan pelanggan… itu yang paling sedih tetapi saya perlu cekal kerana ini satu-satunya pekerjaan yang saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN