Desak henti pengeluaran kayu balak - Utusan Malaysia

Desak henti pengeluaran kayu balak

ZOOL Amali Hussin menunjukkan gambar aktiviti pembalakan dan gambar rajah pelan cadangan kawasan pembalakan di Lenggeng yang seluas 500 hektar.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan didesak untuk menghentikan kerja-kerja pembalakan seluas 500 hektar di kawasan Lenggeng yang didakwa melibatkan sebuah yayasan negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, aktiviti pembalakan berkenaan wajar dihentikan selepas perkara itu kini dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia selepas seorang individu membuat laporan kepada SPRM berkenaan aktiviti pengeluaran balak melibatkan yayasan berkenaan pada bulan September 2020.

“Apa yang saya difahamkan, isu balak ini telah dilaporkan kepada SPRM, saya telah ke pejabat SPRM Putrajaya untuk mengetahui status laporan berkenaan. Hasil makluman pegawai SPRM kepada saya, siasatan mengenainya masih dijalankan.

“Bagi saya jika ia masih disiasat wajar aktiviti pengeluaran balak ini dihentikan sehingga kes ini selesai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dakwa Zool Amali, kerja-kerja pengeluaran balak di Lenggeng tersebut telah dijalankan di kawasan seluas 500 hektar dan aktiviti tersebut telah meresahkan penduduk sekitar termasuk perkampungan masyarakat Orang Asli yang berada berhampiran.

Katanya lagi, aktiviti pembalakan itu juga dilakukan di tiga kawasan lain di negeri ini dengan jumlah luas kawasan pembalakan secara keseluruhan adalah 2,000 hektar.

“Kawasan yang terlibat di Lenggeng ini di kawasan Hutan Simpan Kekal, sejak saya lahir di Lenggeng, tidak pernah lagi ada pengeluaran balak di situ.

“Masyarakat Orang Asli juga mengadu yang yang kerja-kerja mengambil kayu balak itu telah menganggu ekosistem tadahan air dan merosakkan jalan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN