TEMERLOH: Lebih 500 penduduk Kampung Rantau Panjang dan Paya Siput di Lanchang, di sini ‘menderita’ ekoran ketiadaan bekalan air paip sejak seminggu lalu.
Seorang penduduk, Samsiah Abdullah, 61, berkata, ketiadaan air di bulan Ramadan dan dalam cuaca panas ketika ini menyukarkan mereka menjalani aktiviti harian.
Katanya, aduan telah dibuat kepada pihak berwajib sejak saluran paip di sini pecah pada 21 April lalu, tetapi tiada tindakan konkrit dilaksanakan.
“Masalah ini bukan kali pertama tetapi sering kali berlaku tanpa ada penyelesaian secara total. Aktiviti harian kami terganggu seperti banyak pinggan mangkuk dan pakaian berlonggok tidak dibasuh manakala air untuk minum, solat dan membersihkan diri dibeli serta diambil dari tempat lain.
“Penduduk cukup tertekan dengan situasi itu apatah lagi bagi keluarga ramai yang memerlukan banyak sumber air bersih dalam bulan Ramadan ini,” katanya di sini.
Samsiah berkata, pada masa ini, antara pilihan penduduk adalah membeli air mineral dalam jumlah yang banyak untuk minuman dan membersihkan diri.
Tambahnya, untuk mandi dan membasuh pakaian pula, ada kalangan penduduk terpaksa ‘berkorban’ ke Air Terjun Lata Bukit Woh tidak jauh dari kampung itu.
Sorang lagi penduduk, Nur Fatiha Abd Razak, 23, pula menggesa Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) segera membaiki paip pecah sekali gus memulihkan bekalan air di kedua-dua kampung berkenaan.
Ini kerana, ujarnya, penduduk memerlukan keselesaan dan ketenteraman minda untuk beribadat dan menjalani aktiviti harian pada bulan Ramadan ini. – UTUSAN ONLINE