PETALING JAYA: Penjenayah dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee menjadikan 48 unit kondominium di Setiawalk, Puchong di sini sebagai pusat operasi kegiatan haramnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pemeriksaan mendapati 24 unit kondominum disewa syarikat milik Nicky Liow.
Katanya, kondominium itu dipercayai disewa sejak 2014 dan Nicky Liow didakwa turut mengawal rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa.
“Kita percaya suspek berada di kondominium tersebut namun berjaya meloloskan diri dengan laluan khas,” katanya di sini semalam.
Beliau tidak menolak kemungkinan Nicky Liow akan cuba melarikan diri menggunakan lorong tikus ke luar negara.
“Kita yakin pergerakan Nicky Liow terhad kerana dua adiknya dalam tahanan polis,” katanya.
Kelmarin media melaporkan kebocoran maklumat Op Pelican 3.0 yang dilaksanakan polis Johor mengenai serbuan yang bakal dilaksanakan di kawasan Setia Walk, Puchong menyebabkan Nicky Liow melarikan diri.
Nicky Liow, 33, dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis dan agensi penguat kuasa lain yang berada di bawah kawalannya.
Dalam pada itu, lebih 30 pegawai dan anggota polis dipercayai bersekongkol bagi ‘melindungi’ jenayah Geng Nicky.
Difahamkan, turut disyaki terlibat dengan penjenayah tersebut ialah penguat kuasa Jabatan Imigresen.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan mendapati pegawai dan anggota polis antara 34 penguat kuasa dikenal pasti terlibat dengan sindiket didalangi Nicky Liow.
Jelasnya, mereka dipercayai menerima suapan daripada Nicky Liow.