KUALA LUMPUR : Ekonomi Malaysia dijangka bertambah lebih teruk sekiranya darurat tidak ditamatkan dengan segera dan akhirnya menjerumuskan negara terhadap peningkatan jumlah pengganguran.
Pandangan itu disuarakan tiga pakar ekonomi iaitu Penasihat Penyelidik Institusi Penyelidikan Khazanah, Profesor Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram; ahli ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Urusan DM Analytics Sdn. Bhd., Dr. Muhammed Abdul Khalid.
Tegas mereka, Malaysia kini lagi tidak menjadi destinasi pilihan pelaburan di rantau ini dan sudah berada di belakang negara lain seperti Laos serta Vietnam.
Jomo berkata, pengisytiharan darurat sejak Januari lalu telah menghakis persepsi keyakinan para pelabur apabila tiada berlaku lagi proses semak serta seimbang kerana Parlimen tidak bersidang.
Ujarnya, kesan kurang minat melabur dan lari ke negara lain telah menyebabkan tiada peluang perniagaan baharu dibuka sekali gus meningkatkan kadar pengangguran.
“Dalam keadaan ini, keyakinan para pelabur amat tipis dan terjejas akibat tidak mempercayai sistem digunakan kerajaan apabila tiada lagi proses semak dan seimbang ketika pelaksanaan.
“Sejak darurat bermula awal tahun sehingga kini, tiada pun perubahan terhadap ekonomi negara malah bertambah merudum. Ia boleh dilihat pertambahan jumlah penggangguran,” katanya dalam sidang akhbar Jawatankuasa Tamatkan Darurat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nungsari menjelaskan, di dalam usaha menarik minat pelaburan, salah satu yang perlu diutamakan adalah sistem penyampaian kerajaan berintegriti dan tidak rapuh.
Sebaliknya perkara itu tidak berlaku sepanjang tempoh darurat apabila ahli Parlimen tidak diberi ruang melakukan semakan dan berbahas terhadap segala usaha dirancang oleh kerajaan.
“Ini risiko jika mana-mana kerajaan melaksanakan darurat dan bukan sahaja Malaysia tetapi negara lain.
“Tetapi paling janggal adalah Malaysia hanya satu negara membuat darurat di samping tanpa membuka Parlimen sekali gus menambah kesan risiko berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Muhammed menambah, pelaksanaan darurat kali ini sangat berbeza ketika pada krisis kaum pada 1969 apabila pada waktu itu membuahkan hasil dengan terhasilnya Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Rukun Negara.
Malah, pada waktu itu negara ditadbir oleh satu badan yang bukan sahaja melibatkan ahli politik malah anggota kerajaan termasuk daripada wakil pasukan keselamatan dan pertahanan.
“Namun apabila yang berlaku hari ini, negara ditadbir oleh Kabinet yang mempunyai barisan jemaah menteri paling ramai.
“Tetapi tiada hasil boleh dibanggakan apabila pelabur semakin merosot, jumlah pengangguran semakin meningkat dan akhirnya ekonomi terkesan,” katanya.
Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Tamatkan Darurat, Khalid Abdul Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam memaklumkan pihaknya akan menghantar surat kepada Istana Negara esok.
Katanya, ia berkaitan surat permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyembah maklum terhadap kesan darurat kepada ekonomi negara. – UTUSAN ONLINE