Dana RM5 bilion sudah ambil kira kos vaksin untuk remaja - Utusan Malaysia

Dana RM5 bilion sudah ambil kira kos vaksin untuk remaja

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dana RM5 bilion bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah mengambil kira kos pemberian vaksin untuk golongan remaja dan stok penimbal.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini kerajaan menetapkan kos perolehan vaksin untuk 110 peratus populasi adalah RM3.16 bilion.

Bagaimanapun katanya, kerajaan membuat ketetapan awal untuk menambah lagi bekalan vaksin kepada golongan remaja dengan menetapkan had siling perolehan vaksin kepada RM3.5 bilion.

“Had siling itu mengambil kira ketetapan untuk memperoleh bekalan tambahan sebagai stok penimbal jika dos tambahan diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, peningkatan dana RM5 bilion daripada RM3 bilion bagi pelaksanaan PICK adalah bagi menampung perbelanjaan mengurus pelaksanaan program itu.

Khairy berkata, kerajaan menetapkan peruntukan siling bagi perolehan vaksin dan logistik vaksin adalah RM3.5 bilion; sewaan dan utiliti (RM333 juta); perkakasan, bekalan pakai habis dan pelaksanaan pemberian vaksinasi (RM260 juta) serta pembersihan dan sanitasi (RM100 juta).

Katanya, kos lain adalah sagu hati sukarelawan bukan kesihatan (RM200 juta); integrasi data dan sistem janji temu (RM70 juta); program jangkauan komuniti dan advokasi vaksinasi (RM55 juta) dan sagu hati sukarelawan kesihatan (RM147 juta).

“Selain itu, survelan pasca imunisasi dan naik taraf sistem (RM15 juta); penyumber luaran pengamal perubatan swasta (RM210 juta) dan kontigensi dan luar jangka (RM110 juta),” katanya.

Katanya, peruntukan untuk pelaksanaan PICK juga akan disalurkan melalui semua kerajaan negeri.

Jelasnya, ia termasuk kos sewaan dan utiliti bagi 600 lebih Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di fasiliti bukan Kementerian Kesihatan (dewan orang ramai, stadium, tempat awam), perkakasan dan bekalan pakai habis, pembersihan dan sanitasi, sagu hati sukarelawan dan penyumber luaran pengamal perubatan swasta.

Khairy berkata, jumlah akhir perbelanjaan pelaksanaan PICK ini masih lagi belum muktamad sepenuhnya namun had siling perbelanjaan sudah ditetapkan.

“Pecahan peruntukan had siling bagi PICK itu telah saya bentangkan pada Sesi Taklimat PICK kepada ahli Dewan Rakyat yang diadakan Mac lalu melibatkan ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Dalam sesi taklimat itu juga, pelbagai persoalan telah dibangkitkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat berkenaan perolehan vaksin dan pelaksanaan PICK yang mana kesemua persoalan tersebut telah dijawab serta diperjelaskan,” katanya.

Katanya, beliau mengalu-alukan segala persoalan mana-mana pihak bagi menjelaskan segala kos dan penambahbaikan PICK dari semasa ke semasa demi kebaikan semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya