Dakwaan kakitangan KKM maut akibat vaksin masih disiasat - Utusan Malaysia

Dakwaan kakitangan KKM maut akibat vaksin masih disiasat

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan hasil siasatan mengenai isu kematian beberapa orang kakitangannya yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 seperti yang tular dalam media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya kini sedang menyiasat perkara terbabit dan mengambil maklum akan penularan isu kematian beberapa orang kakitangannya.

“Orang ramai digesa tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak dikenal pasti sumber dan kebenarannya.

“Sebarang penyebaran atau perkongsian akan menimbulkan kekeliruan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, semua rakyat Malaysia mengetahui bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah bermula di Malaysia pada 24 Februari lalu.

Katanya, PICK bermula dengan Fasa Satu yang melibatkan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan iaitu petugas kesihatan, pekerja perkhidmatan penting dan pertahanan.

“Kini Fasa Dua pemberian vaksin yang bermula pada 19 April pula melibatkan baki kumpulan daripada Fasa Satu dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU).

“Setakat ini, tiada laporan kematian disebabkan oleh vaksin Covid-19 dilaporkan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai diminta untuk merujuk kepada maklumat sah yang boleh didapati di semua platform rasmi media sosial KKM atau berhubung terus dengan Crisis & Preparedness Response Center (CPRC) di setiap negeri.

“Selain itu, orang ramai boleh melayari di laman sesawang http://covid-19.moh.gov.my/ atau menghubungi di talian 03-88810200/ 03-88810600/ 03-88810700 bagi mendapatkan info sahih berkenaan vaksin Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN