Daerah Masjid Tanah tunggu kelulusan Jemaah Menteri - Utusan Malaysia

Daerah Masjid Tanah tunggu kelulusan Jemaah Menteri

SULAIMAN Md. Ali (tengah) melancarkan Majlis Perasmian Pejabat Operasi Masjid Tanah di bangunan Tabung Haji Masjid Tanah, Melaka. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan (dua dari kanan) dan Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (dua dari kiri). - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Hasrat rakyat negeri ini untuk mempunyai sebuah lagi daerah baharu iaitu daerah Masjid Tanah akan menjadi kenyataan tidak lama lagi, selepas satu Memorandum Jemaah Menteri selesai diangkat untuk dipertimbangkan.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sejak hasrat itu diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 5 Ogos 2020, pelbagai usaha telah dijalankan bagi merealisasikannya.

Beliau berkata, pembukaan Pejabat Operasi Masjid Tanah pada hari ini merupakan antara langkah akhir sebelum Jemaah Menteri menimbang dan bersetuju dengan cadangan yang dibawa kerajaan negeri itu.

Jelasnya, isu persempadanan pentadbiran antara daerah Alor Gajah dan Masjid tanah juga telah diselesaikan berdasarkan kepada sempadan Parlimen untuk memudahkan pengurusan kedua-dua kawasan kelak.

“Daerah Masjid Tanah merangkumi lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lendu, Kuala Linggi, Ayer Limau, Tanjung Bidara dan juga Taboh Naning.

“Cadangan penubuhan daerah baharu ini adalah bagi menyediakan kemudahan perkhidmatan dan pembangunan yang efisien kepada komuniti setempat.

“Daerah ini meliputi kawasan seluas 32,620 hektar dan masih terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Pejabat Operasi Masjid Tanah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Melaka memiliki tiga buah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin yang diketuai oleh Pegawai Daerah.

Jumlah penduduk di keseluruhan daerah Alor Gajah adalah seramai 215,000 orang yang merangkumi 108,203 orang penduduk daerah Masjid Tanah, iaitu 50.3 peratus daripada keseluruhan penduduk daerah Alor Gajah yang asal.

Sementara itu, Sulaiman menambah, Masjid Tanah mampu menyumbang kadar kutipan hasil yang sangat memberangsangkan.

Ujarnya, difahamkan jumlah kutipan hasil cukai tanah dan lain-lain sehingga 31 Disember 2020 adalah sebanyak RM6,114,807.40.

“Sementara itu, hasil dari cukai taksiran harta daerah Masjid Tanah pula adalah sebanyak RM8,592,751.54.

“Pastinya hasil yang telah berjaya dikutip akan digunakan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan awam yang lain demi manfaat kesejahteraan masyarakat setempat,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN