IPOH: Cuti bagi semua pegawai dan anggota polis kontinjen Perak berkemungkinan dibekukan sepanjang Aidilfitri ini bagi memastikan pelaksanaan tugas-tugas berkaitan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang mencegah Covid-19 berjalan lancar.
Pada masa ini polis Perak mempunyai jumlah anggota yang mencukupi dalam tugas pencegahan jenayah termasuk kawalan di pos sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebarang perubahan berkaitan perkara itu juga akan ditentukan pihak kepimpinan pasukan berdasarkan situasi semasa termasuk menilai kadar kes penularan.
Menurut beliau, ketika ini kadar jangkitan Covid-19 di Perak menurun namun pada masa sama langkah-langkah pencegahan yang membabitkan tugas anggota polis tetap dilaksanakan seperti biasa.
“Orang ramai memainkan peranan cukup penting dalam menentukan turun naik kadar jangkitan wabak ini, sudah pasti angka kes yang menurun pada masa ini menunjukkan penduduk Perak telah memainkan tanggungjawab masing-masing.
“Sebagai penguat kuasa undang-undang pula, polis memainkan peranan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir pada program agihan juadah berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak anjuran Persatuan India Muslim Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohamad Arib Aliah dan Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., Datuk Abdul Malik Dasthigeer.
Pada majlis itu seramai 20 warga PDRM Perak seperti ibu tunggal dan anggota yang mengalami masalah kesihatan menerima sumbangan selain edaran 3,000 pek berbuka puasa kepada anggota yang bertugas.
Mior Faridalathrash berkata, kedudukan Perak yang unik kerana bersempadan dengan banyak negeri memerlukan semua laluan masuk diberi kawalan bagi mengekang cubaan rentas negeri.
Katanya, pada masa ini lokasi pos-pos SJR yang ada memadai selain strategik untuk mengawal dan memeriksa keluar masuk kenderaan.