KUANTAN: Bukan sebulan tetapi lebih setahun kesengsaraan terpaksa dialami oleh rata-rata ibu bapa setelah sekolah terpaksa ditutup ekoran penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
Bukan sahaja terpaksa berbelanja besar bagi menyediakan peralatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), malah ibu bapa perlu memantau anak-anak demi memastikan proses itu lancar.
Terdapat juga dalam kalangan ibu bapa terutama dari keluarga kurang berkemampuan tidak dapat menyediakan kemudahan PdPR sekali gus anak mereka ketinggalan dalam pelajaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, tempoh lebih setahun sekolah ditutup telah memberikan pelbagai ‘kerosakan’ kepada dunia pendidikan.
“Cukuplah, sekolah perlu terus dibuka dan menjadi peranan ibu bapa bagi memastikan jika anak mereka bergejala jangan hantar ke sekolah.
“Apa yang penting semua pihak yang berasakan anak mereka atau diri sendiri bergejala atau berasa diri mereka dijangkiti Covid-19, tidak perlu hadir ke sekolah atau di tempat-tempat awam,” katanya di sini semalam.
Ahmad Shukri berkata, sesi persekolahan bersemuka sememangnya telah lama dinantikan oleh golongan ibu bapa dan berharap ia tidak ada lagi perubahan.
Cuma katanya, Perdim berharap Kementerian Pendidikan mengambil kira kesan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) sebelum ini yang mana ramai ibu bapa membuat pelaburan menyediakan peralatan PdPR.
“Kementerian Pendidikan juga melabur menyediakan saluran televisyen pendidikan khas DidikTV Kementerian Pendidikan (DidikTV KPM), semua ini perlu diambil kira dari aplikasi dan kesinambungan penggunaannya supaya ia tidak terabai dan boleh menyebabkan kerugian bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa malah di pihak kerajaan,” katanya.
Berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata, ia sebenarnya sudah terbukti kerana perkara itu telah dilalui sebelum ini dan bukan perkara baharu kepada guru, kakitangan sokongan termasuklah pengawal keselamatan sekolah.
“Mungkin ada satu atau dua sekolah yang terlepas, jadi saya merayu kepada ibu bapa andai anak-anak mereka menunjukkan gejala perlulah bertanggungjawab, jangan hantar anak mereka ke sekolah.
“Bawalah berjumpa doktor di klinik dan janganlah kerana sibuk bekerja, ibu bapa ambil mudah dan menyebabkan kesusahan pihak sekolah, insya-Allah pihak sekolah telah bersedia dan ibu bapa perlulah bertanggung jawab tentang kesihatan anak,” katanya.
Beliau dalam pada itu memohon pihak majikan mengambil kira dan memberi kelonggaran kepada pekerja mereka yang berdepan situasi anak bergejala atau mengalami deman dan selsema. -UTUSAN