RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan menggagalkan cubaan menyeludup minyak masak dan seluar jeans dalam dua serbuan berasingan di Taman Rantau Baru Gual Nering, Gual Sitok dan di sebuah pangkalan haram Pok Mat Lubok dekat sini semalam.
Nilai kedua-dua barang termasuk sebuah van yang digunakan untuk menyeludup minyak masak terbabit berjumlah lebih RM40,000.
Dalam serbuan pertama di Gual Sitok, pasukan tersebut mematahkan cubaan menyeludup minyak masak bernilai RM2,720 sekali gus menyelamatkan ‘subsidi’ negara.
Serbuan pada pukul 7.20 petang itu dilakukan ketika umat Islam sedang berbuka puasa.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintenden Azhari Nusi berkata, operasi disertai anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.
“Bertindak atas maklumat berkait penyeludupan, sepasukan anggota PGA dan KPDNHEP Kelantan digerakkan untuk membuat serbuan ke atas sebuah van yang mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas van tersebut menemukan beberapa kotak berwarna coklat dan bungkusan plastik merah didapati mengandungi 680 peket minyak masak bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azhari, siasatan awal mendapati minyak masak bersubsidi itu dipercayai mahu diseludup ke Thailand melalui lorong-lorong tikus yang terdapat di sempadan negeri ini.
Azhari memberitahu, selang empat jam kemudian, PGA Batalion 7 menggagalkan cubaan menyeludup masuk 555 helai seluar jeans bernilai RM33,300 di pangkalan haram Pok Mat Lubok Gong.
“Dalam serbuan itu, sebuah kereta jenis Proton Waja turut dirampas namun kesemua penyeludup berjaya meloloskan diri,” katanya.
Kata Azhari, menjelang Aidilfitri dalam tempoh dua minggu lagi, pihaknya akan meningkatkan kawalan kerana aktiviti penyeludupan dijangka bertambah.