Cubaan heret lembu seludup waktu sahur gagal - Utusan Malaysia

Cubaan heret lembu seludup waktu sahur gagal

SEBAHAGIAN lembu seludup yang berjaya dirampas PGA Batalion 7 di pangkalan haram Jeram Perdah 2, Rantau Panjang ketika waktu bersahur pagi ini.-IHSAN PGA 7
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Sekumpulan lelaki lari lintang-pukang meninggalkan empat lembu seludup apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di pangkalan haram Jeram Perdah 2, di sini pagi ini.

Rampasan empat lembu jantan seberat 450 kilogram setiap ekor itu dianggarkan bernilai RM25,200 dilakukan pada pukul 4 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa melakukan pemerhatian di lokasi, pihaknya telah melihat sekumpulan lelaki sedang mengheret beberapa ekor lembu menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Malaysia.

Menurutnya, anggota PGA kemudian telah mengekori kumpulan lelaki yang sedang mengheret lembu dalam keadaan gelap.

“Menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki yang sedang mengheret lembu tersebut terus bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan di kawasan berdekatan mendapati empat ekor lembu jantan yang dibawa masuk secara haram dari negara jiran ke Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Azhari memberitahu, kesemua lembu dirampas itu dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan kes disiasat bawah Seksyen (11) (1) Akta Maqis 2011.

“Kita akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi Op Benteng Covid-19 dalam mengekang jenayah rentas sempadan.

“Bukan itu sahaja, aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) turut diberikan perhatian bagi mengelak penularan pandemik itu ke negara ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya