Cuba seludup dadah dalam kerusi - Utusan Malaysia

Cuba seludup dadah dalam kerusi

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan kerusi kayu yang dijadikan tempat untuk diletakkan dadah sebelum di hantar ke negara jiran pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cubaan sindiket penyeludupan dadah yang baru berjinak-jinak menyeludup dadah ke negara jiran sejak Februari lalu tumpas setelah kegiatan mereka dihidu dan ditumpas dalam empat serbuan berasingan di sekitar daerah ini sejak Selasa lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan itu, polis menahan enam individu termasuk empat wanita warga China berusia 36 hingga 46 tahun.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Utara melakukan operasi khas susulan aduan awam mengenai penghantaran dua kerusi kayu dan sebuah kotak barang yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan polis telah menemukan sejumlah dadah jenis syabu dan pil ecstacy seberat lebih dua kilogram bernilai lebih RM100,000 dalam keadaan berbungkus dan disembunyikan dalam kerusi bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Dalam serbuan ini, seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun telah ditangkap di sekitar kawasan Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar IPK Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, susulan daripada serbuan itu, seramai lima suspek terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita warganegara China berumur 36 hingga 46 tahun telah ditahan bersama rampasan dadah.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah manakala hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Polis percaya modus operandi kegiatan sindiket dadah ini adalah dengan menggunakan perkhidmatan ejen pengangkutan lori bagi penghantaran dadah ke negara jiran.

“Sindiket yang aktif beroperasi sejak Februari tahun ini tumpas susulan penahanan enam individu berkenaan,” ujarnya.

Hasil penahanan suspek tersebut, polis merampas 2.11 kilogram (kg) syabu, 204 gram (g) magic mushroom, 42g serbuk ecstacy, 6.8g ketamine, 95 biji pil erimin 5 dan 1,980 pil ecstacy dengan nilai keseluruhan dianggarkan bernilai RM126,447.

Polis turut menyita tiga buah kereta pelbagai jenis dengan nilai sitaan RM85,000 dan wang tunai sejumlah RM19,448.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya