PETALING JAYA : Peningkatan harga komoditi sawit antara faktor penyumbang kenaikan harga minyak masak botol di pasaran pada masa sekarang.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, harga bahan mentah itu akan mengalami kenaikan dan penurunan bergantung kepada pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) semasa.
Bagaimanapun katanya, peningkatan harga minyak masak pada masa kini diimbangi kerajaan menerusi subsidi kepada setiap 700,000 tan minyak sawit mentah bagi pembuatan bahan mentah berkenaan.
” Kenaikan harga CPO menguntungkan negara kerana 19 juta tan untuk keperluan eksport manakala hanya satu juta tan sahaja untuk kegunaan dalam negara. Daripada satu juta itu sebanyak 700,000 tan di tampung kerajaan dengan harga subsidi RM2.50 sekilogram walaupun harga sebenar antara RM4 ke RM5.
” Hanya 300 tan dipasarkan dalam pek dua dan lima kilogram mengalami naik turun mengikut harga pasaran semasa minyak sawit mentah. Dengan harga subsidi RM2.50 untuk sekilogram daripada 700,000 tan atau 700 juta pek minyak masak di pasaran sudah cukup untuk rakyat mendapat manfaat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini harga minyak masak botol bersaiz 5 kilogram dikatakan naik ketara hingga sejak awal tahun lalu hingga membebankan pengguna.
Dalam pada itu, pengeluar minyak masak jenama Fatin yang mahu dikenali sebagai Faiz berkata, kenaikan harga tersebut hanya bersifat sementara.
“ Harga kilang bagi lima kilogram sekarang adalah RM27.40. Kenaikan ini disebabkan harga komoditi sawit.
“ Jadi harga ini bersifat sementara bergantung kepada harga komoditi. Jika ia turun maka harga minyak masak botol juga akan turun,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE