Covid-19: SK Seri Saujana laksana PDPR ekoran kes positif - Utusan Malaysia

Covid-19: SK Seri Saujana laksana PDPR ekoran kes positif

SEKOLAH Kebangsaan Seri Saujana yang menjalani sesi PdPR buat masa ini ekoran terdapat warga sekolah yang positif Covid-19 di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/ MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sekolah Kebangsaan Seri Saujana di Taman Sri Saujana, di sini melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melibatkan pelajar tahun satu hingga lima bermula semalam sehingga 28 April ini.

Melalui notis dikeluarkan pihak sekolah kepada ibu bapa, kehadiran murid-murid daripada kelas-kelas terlibat ditangguhkan susulan pengoperasian sekolah ketika ini yang dalam siasatan dan kawalan penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, bagi murid tahun enam hanya mereka yang mempunyai gejala atau waris serta ahli keluarga kepada murid-murid yang menjalani ujian calitan sahaja yang terlibat dengan PdPR.

“Pihak sekolah akan memaklumkan pengoperasian bersemuka semula berdasarkan maklum balas daripada pihak Kementerian Kesihatan selepas ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan langkah-langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan serta membendung penularan jangkitan Covid-19 sentiasa menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang ditemui semalam mengesahkan terdapat warga sekolah berkenaan yang dikesan positif dan perlu diasingkan kontak rapatnya.

“Kita juga akan melihat saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk menentukan sekolah ditutup atau kelas sahaja. Jika melibatkan guru yang ramai (positif), sekolah tidak boleh beroperasi kalau libatkan kelas, murid sahaja sekolah boleh diteruskan.

“Johor di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi boleh laksanakan sekolah seperti biasa. Kita guna kaedah bersasar untuk laksanakan tanggungjawab bagaimana hendak bendung Covid-19 di peringkat Kementerian Pendidikan,” katanya.

Tambah Dr. Adham, bagi murid yang dikesan positif akan dirawat di hospital yang digazetkan kementerian dan tidak boleh berada di rumah walaupun jangkitan mereka dari kategori satu atau dua.

Katanya, murid-murid lain di dalam satu kelas yang terdedah juga perlu menjalani ujian saringan dan diasingkan selama 10 hari supaya tidak ada jangkitan lain.

“Apabila diasingkan di rumah kena laksanakan betul-betul, bukan bercampur dan tidak boleh keluar kerana tempoh 10 hari itu sangat penting untuk pastikan kita dapat memutuskan rantaian di kawasan wabak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN