PONTIAN: Kreativiti dan kelainan bagi menarik pelanggan membeli juadah berbuka puasa nyata memberi kelebihan kepada Norashikin Ahmad, 58, yang menjual ‘Cucur Udang Super’ di Pekan Kayu Ara Pasong, di sini.
Wanita berasal dari Pendang, Kedah yang dikenali sebagai ‘Mak Kedah’ oleh penduduk setempat itu menjual sebanyak 180 biji cucur udang sehari dengan harga RM1.50 sejak 1 Ramadan lalu.
Katanya, dengan saiz yang lebih besar daripada cucur udang biasa, ia nyata menjadi daya penarik kepada orang ramai yang mengunjungi gerai jualan pelbagai juadah di pekan tersebut.
Menurutnya, sebanyak empat hingga lima kilogram tepung digunakan bagi membuat cucur udang yang bermula sejak tengah hari memandangkan perniagaan dibuka pada pukul 3 petang.
“Pada hari-hari biasa saya menjalankan perniagaan kedai pakaian di Pekan Kayu Ara Pasong dan sempena bulan Ramadan saya memilih berniaga makanan untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya yang telah 20 tahun tinggal di Pontian.
Menurut Norashikin, cucur udang resepinya disajikan dengan kuah kacang, timun dan salad yang tentunya dapat membuka selera untuk sajian berbuka puasa.
Katanya, setiap pelanggan biasanya membeli tiga hingga empat biji cucur udang yang tentunya menarik minat mereka untuk mengulanginya kerana pertama kali dia menjualnya pada Ramadan tahun ini. – UTUSAN ONLINE