Cadangan kompaun sekolah abai SOP masih dalam perbincangan - Abd. Jalil - Utusan Malaysia

Cadangan kompaun sekolah abai SOP masih dalam perbincangan – Abd. Jalil

Abd. Jalil Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cadangan polis Pahang untuk mengeluarkan kompaun kepada pihak sekolah yang didapati mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) hingga mencetuskan kluster baharu Covid-19 masih dalam peringkat perbincangan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, perkara itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab dalam menyekat penularan jangkitan Covid-19 khususnya melibatkan kawasan sekolah.

“Kalau boleh, kita (pihak polis) cuba elak daripada mengeluarkan kompaun, tetapi, kalau kesalahan itu berlaku depan mata, tindakan perlu juga diambil.

“Dengan keadaan (ekonomi) ketika ini, kita faham jika (kompaun) dikeluarkan, susah juga untuk bayar… jadi kalau boleh elak (keluarkan kompaun), kita elak.

“Jika semua pihak, terutamanya ibu bapa boleh faham dan patuh dengan SOP ditetapkan, kita boleh pastikan perkara ini (kluster baharu Covid-19 di sekolah) tidak berlaku di Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pemuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pendidikan negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohammad Rosli berkata, semua pengetua dan guru besar di Pahang perlu mengikuti surat pekeliling dikeluarkan Jabatan Pendidikan negeri mengenai garis panduan dan pengendalian sekolah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Arahan itu sudah jelas dan kita bukan sahaja mengharapkan kerjasama pihak sekolah, tetapi, kerjasama ibu bapa dan juga pelajar itu sendiri..Kalau anak demam atau ada gejala seperti batuk atau selesema, tidak perlu hantar ke sekolah…jangan bergantung sangat dengan bacaan pada pengimbas suhu kerana ia bukanlah tepat.

“Kita tidak mahu tercetus kluster atau masalah lain… bukan sahaja Covid-19, penyakit lain pun mudah merebak di kalangan murid dan pelajar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN