Bunga Ketam Guri, Telang bakal jadi identiti batik Kelantan - Utusan Malaysia

Bunga Ketam Guri, Telang bakal jadi identiti batik Kelantan

ROSLI Yaakob tekun mencanting batik di kilang miliknya di Kampung Semut Api, Kota Bharu.-UTUSAN/ ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kraftangan Malaysia dalam proses mewartakan dua motif yang sinonim dengan negeri ini iaitu Bunga Ketam Guri dan Bunga Telang sebagai identiti batik Kelantan di bawah mekanisme Petunjuk Geografi (GI).

Pengarah Kraftangan Malaysia negeri, Nor Azmi Ismail, selain melindungi batik Kelantan, usaha itu mampu mempromosi industri dengan meluas, sekali gus membantunya bangkit semula selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Motif Bunga Ketam Guri banyak digunakan dalam pembinaan ukiran di Kelantan termasuk istana sejak zaman berzaman. Jadi motif ini sesuai diangkat sebagai salah satu identiti batik Kelantan.

“Bunga Telang pula merupakan antara bahan asas dalam penghasilan makanan tradisi rakyat negeri ini yang dilihat unik kerana berwarna biru iaitu nasi kerabu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nor Azmi berkata, pewartaan GI yang dibuat dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengambil masa agak lama kerana prosesnya agak rumit selain memerlukan persetujuan pelbagai pihak.

“Setakat ini kami sudah adakan tiga kali perjumpaan bersama pihak terbabit iaitu dua kali dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan sekali dengan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan bagi membincangkan usaha ini.

“Kami jangka langkah pewartaan GI ini dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Azmi turut memberitahu, Kraftangan Malaysia setakat ini telah memperkenalkan Standard Batik Malaysia: MS 692 : 2007 iaitu satu piawaian khas bagi memudahkan batik Malaysia dibezakan dengan batik dari negara jiran.

“Persijilan piawaian itu hanya diberikan kepada pengeluar batik yang mematuhi dan memenuhi kriteria serta ujian makmal dijalankan Kraftangan Malaysia.

“Selain itu kita turut menyediakan platform pemasaran dalam talian seperti My Craft Shoppe dengan capaian hingga peringkat global melibatkan 15,000 pengguna, e-Kraf Bazar (eKB) serta platform media sosial, Group Komuniti Kraf,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya