HULU TERENGGANU: Asam gelugur atau asam keping adalah antara bahan penting dalam masakan tetapi mungkin ramai yang tidak tahu bunga daripada pokok berkenaan juga boleh dijadikan rencah untuk menambahkan lagi keenakan hidangan.
Perkara itu dikongsikan seorang penduduk di Kampung Tanjung Putat, di sini yang masih mengekalkan tradisi penggunaan bunga asam gelugur sebagai pengganti asam keping.
Hadillah Salleh, 60, berkata, fungsi bunga berkenaan sama seperti asam keping dan boleh digunakan bagi membangkitkan rasa masam dalam pelbagai hidangan termasuk ikan singgang dan masak lemak cili api.
Menurut datuk kepada dua cucu itu, lazimnya dia mengutip bunga yang gugur berhampiran rumahnya dan mampu memperoleh sehingga 500 gram bagi diproses sebagai bahan rencah untuk kegunaan sendiri, sekali gus dapat menjimatkan belanja dapur.
Katanya, pokok asam gelugur berbunga antara Mac hingga Mei dan proses pembuatannya sama seperti asam keping yang perlu dihiris buahnya sebelum dijemur.
“Bunga yang gugur perlu dikutip segera, kemudian dibersihkan bagi membuang kotoran sebelum dijemur dalam tempoh tiga ke tujuh hari sehingga kering, bergantung kepada cuaca.
“Bunga yang kering bertukar menjadi kehitaman sebagaimana asam keping dan sedia digunakan sebagai bahan masakan bagi pelbagai jenis resipi,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Hadilah berkata, aktiviti mengutip bunga asam gelugur adalah tradisi penduduk kampung itu satu ketika dahulu, namun semakin dipinggirkan berikutan peredaran zaman di samping bilangan pokok yang semakin berkurangan.
Katanya, ketika ini masih terdapat dua pokok asam gelugur di kawasan perkuburan kampung itu, bagaimanapun, buahnya tidak pernah menjadi. – UTUSAN ONLINE