IPOH: Setiap kali Ramadan, Masjid India Muslim Ipoh yang terletak di Jalan Seenivasagam di sini pasti menjadi tumpuan orang ramai hanya untuk mendapatkan bubur lambuk daging kambing yang merupakan satu-satunya masjid di Ipoh menyediakan juadah istimewa itu.
Rahsia keenakan bubur lambuk kambing itu adalah pada penyediaan lebih 16 jenis rempah ratus untuk dimasak dengan cara tersendiri serta potongan daging kambing segar yang kemudian mesra di dalam periuk bersama bahan-bahan lain sebelum ditabur hirisan daun sup dan bawang goreng.
Pastinya air tangan tukang masak, Mustafha Kamal Varusai Mohamad, 75, untuk memasak lapan periuk bubur lambuk kambing sebagai juadah istimewa berbuka puasa di masjid tersebut sejak 16 tahun lalu bukan biasa-biasa, malah dia hanya dibantu dua orang untuk menyiapkan tugasan itu.
Jelas Mustafha Kamal, cara memasak bubur lambuk kambing ini juga sama seperti mana yang dimasak 80 tahun lalu mengikut resipi masyarakat India Muslim tetapi telah disesuaikan dengan selera masyarakat setempat.
“Kerja-kerja memasak dimulakan selepas solat subuh seperti memotong bahan-bahan masakan, membasuh beras sebelum menyediakan tempat memasak.
“Periuk pertama mula ditenggek di atas api pada pukul 8 pagi dan proses memasak bubur lambuk akan selesai sepenuhnya pada pada pukul 1 petang atau sebelum solat zuhur.
“Bagi setiap periuk, saya memasukkan tiga kilogram daging kambing dan bahan lain seperti daun pudina, ketumbar dan daun pandan,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu Pengerusi Masjid India Muslim Ipoh, Shaik Mujiburrahman Mohd. Yusoff berkata, bubur lambuk kambing dimasak secara berselang sehari dengan bubur lambuk biasa.
“Kita memperuntukkan sebanyak RM1,000 sehari meliputi 150 kilogram beras, minyak masak dan bahan-bahan masakan lain termasuk 30 kilogram daging kambing.
“Resipi bubur lambuk kambing kita adalah yang sama sejak 80 tahun lalu, tak berubah baik dari segi bahan-bahan atau rasa,” jelasnya.
Agihan bubur lambuk bermula pukul 4 petang dan menjadi tradisi di masjid ini juga mereka yang datang mesti membawa bekas makanan sendiri sama seperti diamalkan sejak masjid itu dibuka 100 tahun lalu.