Buat laporan palsu, dua lelaki didenda RM2,000 - Utusan Malaysia

Buat laporan palsu, dua lelaki didenda RM2,000

R. KUMARAN (depan kiri) dan B. Prasad Kumar (kanan) dibawa keluar dari mahkamah setelah mengaku bersalah membuat laporan polis palsu di Mahkamah Majistret Sungai Siput. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Tindakan dua lelaki membuat laporan palsu kononnya diragut membawa padah apabila masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, R. Kumaran, 41, dan B. Prasad Kumar, 33, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman ke atas mereka diputuskan Majistret Nurul Asyifa Redzuan selepas kedua-duanya membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan dibacakan berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Kumaran didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 12 tengah hari, 8 April lalu manakala Prasad Kumar pula mengaku salah atas perbuatan yang dilakukannya pada pukul 2.40 pagi, 10 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat pegawai penyiasat jenayah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Kumaran yang merupakan pekerja kontrak mendakwa kehilangan kad pengenalan selepas dompetnya diragut dua lelaki bermotosikal di Jalan Besar Dovenby di sini, sedangkan siasatan mendapati dompet itu sebenarnya disembunyikan di tempat duduk motosikalnya.

Lelaki itu membuat laporan palsu sebagai alasan untuk menipu peminjam wang tidak berlesen atau ‘ah long’ bahawa dia tidak dapat membayar wang pinjaman ekoran wang yang disediakan telah diragut.

Bagi Prasad Kumar pula, dia membuat laporan polis mendakwa diragut dua lelaki bermotosikal di hadapan Dewan Konvensyen Taman Tun Sambanthan di sini.

Tertuduh mendakwa kehilangan telefon bimbit, lesen memandu dan kad pengenalan sedangkan laporan polis itu dibuat kerana takut dikenakan denda yang tinggi untuk mendapatkan gantian kad pengenalan baharu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya